
PUTRAJAYA – Lima gabungan politik memeterai perjanjian dengan Pakatan Harapan (PH), petang ini bagi mengukuhkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Memetik sumber Berita Harian, semua gabungan politik terbabit diwakili pemimpin tertinggi masing-masing.
Antaranya ialah Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg; Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, manakala PH, diwakili Anwar sebagai Pengerusinya.
Turut menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama berkenaan ialah Setiausaha Agung gabungan politik masing-masing iaitu Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mewakili PH; Datuk Seri Zambry Ab Kadir (BN); Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (GPS); Datuk Seri Marsidi Manjun (GRS) dan Datuk Loretto S Padua Jr ( WARISAN).
Perjanjian persefahaman kerjasama terbabit telah ditandatangani sekitar jam 3.15 petang tadi.
Dalam pada itu, Anwar turut berkata, semua parti dan gabungan politik yang menyertai perjanjian persefahaman kerjasama dengan PH sudah menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong Perdana Menteri.
Menurutnya, komitmen mereka ialah menyokong sebuah kerajaan yang stabil disamping beliau menyatakan harapan kerjasama terbabir berterusan sehingga penggal kali ini berakhir.
“Jika anda lihat apa yang sudah dirangka, perbincangan yang hebat (intense) untuk memahami, komitmennya untuk menyokong kerajaan yang stabil. Harapnya sehingga penggal berakhir,” katanya.





