Lima Pelajar USAS Rentung Dalam Kemalangan Dekat Terowong Menora

Lima Pelajar USAS Rentung Dalam Kemalangan Dekat Terowong Menora

0
SHARE

KUALA KANGSAR – LIMA (5) orang pelajar rentung selepas kereta yang dinaiki mereka terbakar dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara Selatan arah utara dekat Terowong Menora di sini, tengah malam tadi.

Memetik laporan Kosmo, mangsa terlibat dikenali Muhammad Nasrun Aidol Munir Akbar, 22, beralamat Taman Desa Bukit Bujang Kuala Kubu, Selangor; Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21, beralamat Taman Perumahan Perwaja Cukai, Terengganu; Iqbal Hasnun Halimi, 23, beralamat Taman Impian Jaya Senai, Johor; Muhammad Nabil Haikal Muhammad Fariz, 19, beralamat di Magna Ville Selayang Batu Caves, Selangor; dan Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20 beralamat Taman Kerian Permai Parit Buntar, Perak.

Difahamkan, kesemua mangsa terbabit merupakan pelajar dari Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Kuala Kangsar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Ahmad Izuwan Zakaria berkata, maklumat kejadian itu diterima pada pukul 12.52 tengah malam.

Katanya, setibanya di lokasi, didapati kebakaran melibatkan kenderaan dinaiki mangsa dengan sebuah treler membawa muatan besi.

“Kereta dinaiki mangsa dan treler 20 tan itu masing-masing terbakar 90 peratus. Mangsa yang terperangkap di dalam kereta disahkan maut di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan…

“Pemandu treler bagaimanapun terselamat dan operasi mengeluarkan kesemua mangsa yang terperangkap kini sedang dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Operasi memadam kebakaran dan menyelamat mangsa turut dibantu BBP Meru Raya, BBP Ipoh dan BBP Kamunting.