KOTA KINABALU: Negeri Sabah perlu menubuhkan Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sendiri.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, penubuhan itu penting kerana ia akan membantu usaha pengumpulan data semua pelajar dan graduan yang dihasilkan oleh institusi TVET di negeri ini.
“Kita tidak mahu ada lambakan, kita mahu supaya ada kerjasama di antara institusi TVET ini supaya dapat melihat apa sebenarnya keperluan negeri ini dan kita mahu supaya kita menyediakan tenaga mahir yang sesuai untuk negeri ini.
“Jadi dengan adanya Majlis TVET ini, kita dapat kordinasikan maklumat-maklumat ini dan kita boleh buat pengarahan terutama kerajaan negeri akan memberi maklumat kepada kita bahawa apa keperluan mereka untuk memastikan tenaga mahir di negeri ini mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Minggu Transformasi Siswa di Politeknik, Kota Kinabalu pada Khamis.
Sementara itu, Mustapha turut menggesa agar kerajaan negeri membantu merialisasikan penubuhan Majlis itu dan beliau akan membawa perkara tersebut ke peringkat kabinet secepat mungkin untuk dibincangkan.
Untuk rekod juga, Mustapha memaklumkan bahawa Majiis TVET sudah pun ditubuhkan di peringkat persekutuan dan di beberapa negeri lain, justeru Sabah perlu mengorak langkah yang sama demi kebaikan negeri pada masa akan datang.






