SIPITANG, SABAH – Seorang lelaki yang hilang selama enam hari setelah keluar mencari buah di Kampung Lubok Darat sini ditemui petang semalam.
Lahanirsin Lahamino, 33, ditemui dalam keadaan selamat oleh pasukan Bomba pada jam 4.20 petang.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, mangsa ditemui selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan tiga hari yang lalu.
Seramai 22 orang termasuk agensi keselamatan, penduduk setempat dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat terlibat.
“Mangsa telah dijumpai oleh pasukan SAR di Kampung Sapok enam kilometer dari Pusat Kawalan Bomba.
“Mangsa dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut,” kata seorang jurucakap agensi.