KUALA LUMPUR – Dato’ Seri Najib tampil menasihati Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) agar sentiasa menjaga adab dan tingkah laku semasa sesi perbahasan di Dewan Rakyat yang bermula pada Isnin.
Najib di dalam hantaran terkini melalui Facebook miliknya berkata “saya harap ahli-ahli parlimen kita akan menjaga adab, tingkah laku dan budi bahasa kita semasa kita berbahas dalam parlimen.”
“Kita perlu sentiasa menjaga akhlak dan emosi kita.”
“Kita tak perlu buli yang paling tua atau yang paling muda.”
“Jangan ambil kira bangsa, umur atau jantina semasa kita berbahas sebab pihak sebelah sana juga ahli parlimen dipilih Rakyat”.
“Kita mesti sentiasa professional di dalam Dewan.”
“Fokus pada isu dan fakta.”
“Jangan berlagak macam Lid atau Jelutong.”
“Nanti Rakyat tuduh kita sama seperti Lid dan Jelutong, kita susah hati pulak.”
Dalam pada itu, orang ramai termasuk warganet memuji kenyataan berbentuk nasihat oleh bekas Perdana Menteri tersebut.
Walaupun telah berada di barisan Kerajaan, namun Najib tetap tampil mempertahankan agar Ahli Parlimen Pembangkang dilayan dengan baik.
Dewan Rakyat yang bermula Isnin ‘panas’ selepas usul pertukaran Speaker disusuli pula pertikaman lidah di antara Ahli Parlimen Arau, Kinabatangan dan Langkawi berhubung isu pertukaran Perdana Menteri Malaysia baru-baru ini.
Turut menarik perhatian orang ramai apabila Ahli ParlimenTanjung Karang yang menyebut perkataan “cucu, cucu nak mencelah, cucu,” ketika Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ingin mencelah dalam perbahasan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mengakhiri sesi hari pertama Persidangan Dewan Rakyat pada Isnin, insiden perkataan “gelap tak nampak” oleh Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Azeez Abdul Rahim yang diwujudkan kepada
Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto. Walau bagaimanapun Azeez telah menarik balik kenyataan tersebut pada sesi perbahasan petang tadi.