NAJIB KEKAL BERSALAH KES PENYELEWENGAN DANA SRC

NAJIB KEKAL BERSALAH KES PENYELEWENGAN DANA SRC

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam rayuannya untuk menolak sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd.

Keputusan sebulat suara itu dibacakan oleh panel TIGA (3) Hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Hakim Abdul Karim Abdul Jalil bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera yang mana mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 lalu.

Tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas perdana menteri itu.

Ketika prosiding keputusan menerusi aplikasi Zoom tepat jam 9.30 pagi itu, Abdul Karim berkata, mahkamah bersetuju dengan dapatan Mahkamah Tinggi bahawa perayu adalah pengarah bayangan SRC.

“Beliau melantik pengarah lain dalam syarikat itu dan menandatangani surat pelantikan, maka disebabkan itu, semua pengarah mematuhi arahan Najib di mana tiada bukti menunjukkan bahawa mereka tidak mematuhi keputusan berkenaan,” katanya.

Sejurus keputusan dibaca, Najib yang hadir dalam aplikasi itu dengan memakai sut hitam, kelihatan tenang tanpa sebarang reaksi.

Dalam prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk V Sithambaram berada di pihak pendakwaan manakala Najib selaku perayu diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.