Pengambilan Pil Perangsang Viagra Kurangkan Risiko Penyakit Alzheimer

Pengambilan Pil Perangsang Viagra Kurangkan Risiko Penyakit Alzheimer

0
SHARE

CLEVELAND, OHIO – Pengambilan pil perangsang Viagra secara kerap dapat mengurangkan risiko penyakit Alzheimer sebanyak dua pertiga, demikian hasil pendedahan satu kajian di Amerika Syarikat (AS).

Kajian berkenaan yang dilakukan oleh sekumpulan pakar telah menjadikan hampir 7.2 juta penduduk dewasa Amerika Syarikat sebagai responden dan mendapati bahawa pengguna tetap pil viagra adalah 69 peratus (69%) kurang berisiko mendapat penyakit Alzheimer dalam tempoh enam tahun akan datang.

The Sun juga melaporkan kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Nature Aging mencadangkan bahawa pil Viagra boleh membantu meningkatkan kesihatan otak serta mengurangkan protein toksik yang boleh menyebabkan masalah nyanyuk.

Susulan hasil kajian tersebut, pasukan penyelidik kini merancang untuk menjalankan kajian baharu bagi mengkaji manfaat sildenafil terhadap pesakit Alzheimer peringkat permulaan. Sildenafil merupakan sejenis pil versi generik bagi Viagra.

“Sildenafil  yang telah terbukti meningkatkan kognisi dan ingatan dengan ketara dalam model praklinikal adalah ‘calon’ ubat terbaik bagi merawat penyakit tersebut,” kata ketua penyelidik dari Institut Perubatan Genomik Klinik Cleveland, Dr. Feixiong Cheng.

Sementara itu, seorang pakar Alzheimer Britain, Dr. Susan Kohlhaas memberi peringatan mengenai hasil kajian tersebut dengan menyatakan bahawa lebih banyak penyelidikan terperinci perlu dilakukan.

“Sildenafil dikenali sebagai sejenis rawatan bagi mengubati masalah mati pucuk selain turut digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi dalam paru-paru…

“Eksperimen peringkat awal seperti ini memerlukan lebih banyak kajian susulan,” ujarnya.