KUALA LUMPUR – Bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David, dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia anjuran Persatuan Sukan Dunia Antarabangsa (IWGA), malam tadi.
Sebaik undian ditutup pada jam 9 malam pada Isnin, Nicol yang bertanding dengan lebih kurang 24 ahli sukan yang lain berada dalam kelas tersendiri apabila menerima 318,943 undian daripada 1.2 juta undian keseluruhan yang diadakan secara dalam talian sejak 8 Januari lalu.
“Ini adalah satu penghormatan buat diri saya apabila dicalonkan untuk Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman. Saya berterima kasih menerima sokongan padu daripada seluruh rakyat Malaysia serta komuniti skuasy…
“Ia sesuatu yang agak mengejutkan untuk saya disenaraikan bersama atlet terkemuka dunia yang lain. Saya rasa bersyukur dan diharapkan kejayaan ini mampu menarik perhatian dunia terhadap sukan skuasy.
“Saya berbangga dapat mewakili negara saya dan Asia,” katanya yang muncul sebagai atlet tunggal dari Asia yang dicalonkan bagi anugerah berprestij itu.
Nicol yang juga bekas jaguh negara yang pernah sembilan tahun berada di ranking nombor satu dunia itu meninggalkan pesaing terdekat yang juga legenda tarik tali Ireland, James Kehoe (113,120 undi).
Atlet powerlifting Ukraine, Larysa Soloviova, pula berada di kedudukan ketiga selepas meraih 80,790 undian.
Dalam edisi 2019, anugerah itu dimenangi oleh pemain hoki India, Ritu Pani.