Op Degil: DBKK Keluarkan 667 Kompaun

Op Degil: DBKK Keluarkan 667 Kompaun

0
SHARE
Anggota DBKK sedang mengeluarkan saman kepada kutu sampah di kawasan sekitar bandaraya Kota Kinabalu dalam Op Degil...

KOTA KINABALU, SABAH – Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) telah mengeluarkan sebanyak 667 kompaun serta merta (COS) bermula bulan Januari sehingga 31 Mac tahun ini.

Jabatan Penguatkuasaan DBKK melalui Op Degil menyasarkan individu atau syarikat yang mengotorkan atau membuang sampah di tempat awam.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Noorliza Awang Alip berkata, kesalahan yang sering ditemui adalah seperti membuang puntungan rokok, tisu, botol minuman dan bekas makanan.

“Op Degil dijalankan setiap hari di seluruh kawasan bandaraya Kota Kinabalu terutamanya di taman dan tempat awam…

Anggota DBKK sedang mengeluarkan saman kepada kutu sampah di kawasan sekitar bandaraya Kota Kinabalu dalam Op Degil…

“Tujuannya ialah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai kepentingan menjaga kebersihan bandaraya dan juga memberi pengajaran kepada individu-individu yang mengotorkan persekitaran bandaraya.

“Op Degil akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan masyarakat sentiasa peka dan mengambil berat dalam menjaga kebersihan persekitaran bandaraya yang tercinta,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Di bawah punca kuasa Undang-Undang Kecil (UUK) Bandaraya Kota Kinabalu (Anti Sampah Sarap) 1984 Pindaan 2005, pesalah akan diberi pilihan sama ada membayar kompaun serta merta ‘Compound On The Spot’ (COS) tidak kurang dari RM30 dan tidak lebih dari RM500 mengikut jenis dan jumlah sampah yang dibuang atau hadir di mahkamah ‘Summon On The Spot’ (SOS).

Jika pesalah disabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak lebih 3 tahun atau dihukum Perintah Kehadiran Wajib (PKW) dengan melakukan kerja-kerja masyarakat 4 jam sehari dalam tempoh tidak lebih 3 bulan.

Dalam pada itu, Noorliza berkata, bermula dari tahun 2016 hingga tahun 2022, seramai 691 pesalah telah dihadapkan ke mahkamah.