KOTA KINABALU, SABAH – Parti Warisan Sabah (WARISAN) dilihat semakin ‘karam’ mutakhir ini susulan beberapa ahli parti yang keluar daripada parti itu.
Terbaharu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal mengumumkan keluar daripada Parti Warisan (Warisan) kelmarin (Ahad).
Rina membuat pengumuman berkenaa di salah sebuah hotel di sekitar Kota Kinabalu dan turut memaklumkan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).
“Saya mengumumkan peletakan semua jawatan dalam Warisan termasuk Naib Ketua Wirawati Sabah dan Ketua Wirawati Bahagian Kalabakan berkuat kuasa serta-merta dan mengumumkan menyertai Parti Harapan Rakyat Sabah,” katanya.
“Saya rasa ini perancangan tuhan perjuangan yang berasal daripada Allahyarham Datuk Seri Lajim Ukin yang mengasaskan parti ini dan diambil alih oleh Tan Sri untuk menghidupkan semula dan setelah kami berbincang beliau berpendapat bahawa parti ini kita boleh bawa perjuangkan nasib rakyat Tawau…
“Saya tidak perlu pening fikir apa yang berlaku sekarang, perebutan kuasa segala. Saya hanya mahu fikir fokus bekerja untuk rakyat,” katanya yang menjawab pertanyaan sebab memilih parti kecil yang juga bukan dalam kerajaan.

Terdahulu, WARISAN terpaksa menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) baru-baru ini dengan mendakwa “RUMAH” Warisan dirompak.
Presidennya, Datuk Seri Shafie Apdal berkata ianya sebuah analogi yang digunakannya dalam menggambarkan kehilangan sejumlah ahli mereka sejak kebelakangan ini yang dikatakannya sama ada dibeli atau ditekan oleh pihak lawan.
“WALAUPUN BEGITU, WARISAN MASIH TEGUH DAN SOKONGAN AKAR UMBI KEKAL KUKUH DAN TIDAK SEPERTI YANG DIBESAR-BESARKAN SESETENGAH PIHAK…
“Dinding kami telah dicuri dan tingkap dibeli, menyebabkan sukar untuk menaiki tangga kami sendiri. Tetapi kami sedang menguruskan dengan baik,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong pada Sabtu (4 Jun) baru-baru ini.

“Kami sedang mengkaji untuk membaiki ‘rumah’ kami sendiri terlebih dahulu sebelum berfikir untuk berpindah ke kononnya khemah besar di sana sini…
“Saya sudah pernah bersama Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Namun negara memerlukan kepimpinan untuk menyatupadukan rakyat dan membebaskan kita daripada hutang.
“Khemah besar tidak akan menyelesaikannya. Saya rasa saya sudah cukup. Saya mahu memastikan Warisan mendapat pengukuhan yang sewajarnya terlebih dahulu,” jelasnya lagi.
Untuk rekod, Rina adalah ADUN Warisan yang keenam yang meninggalkan Warisan dan sekali gus menjadikan Warisan kini hanya mempunyai 18 kerusi DUN.
LIMA (5) wakil rakyat Warisan yang keluar parti sebelum ini ialah ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir; ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yaacob; Ahli Parlimen Lahad Datu merangkap ADUN Segama, Datuk Mohamaddin Ketapi; ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony dan ADUN Limbahau, Datuk Nuil Juatim.





