Pembantu Jualan Wanita Punca Tercetusnya Kluster Baharu Di Sabah

Pembantu Jualan Wanita Punca Tercetusnya Kluster Baharu Di Sabah

0
SHARE
Gambar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatatkan lagi satu kluster baharu yang melibatkan penularan jangkitan di tempat kerja iaitu di Bataras Hypermarket dalam pusat membeli-belah 1 Borneo.

Kluster Agora Borneo tercetus daripada seorang pembantu jualan wanita, 24, dari Kampung Lokub yang disahkan positif pada 30 Jun selepas bergejala sejak 10 hari yang lalu.

“Daripada 133 sampel yang diambil dalam kalangan kontak rapat, 26 sampel dikesan positif termasuk 17 kes baharu yang direkod pada hari ini…

“Berdasarkan siasatan awal, penularan COVID-19 dipercayai merebak di tempat kerja hingga ke generasi kedua iaitu ahli keluarga,” kata Jurucakap COVID-19 negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Menurut Masidi, jumlah kes baharu positif COVID-19 Sabah kelmarin (Selasa) menurun 38 kes dari sebelum ini yang membawa kepada jumlah 225 KES dengan SATU (1) kes kematian direkodkan di daerah Tawau.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 06 Julai 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

Dalam perkembangan lain, penduduk Kampung Pondo di Pulau Gaya digesa kembali atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

Masidi berkata terdapat beberapa penduduk yang telah melarikan diri dari lokaliti berkenaan setelah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Mereka dikehendaki kembali ke kampung tersebut dengan kadar segera bagi memastikan tidak berlaku jangkitan kepada komuniti lain…

“Balai Polis Pulau Gaya pada ketika ini juga sedang mempergiat usaha mengesan semua 69 suspek yang dipercayai melarikan diri ketika berangkat ke pusat kuarantin.

“Kegagalan mereka kembali ke Kampung Pondo dan jika tertangkap oleh pihak berkuasa, mereka boleh diambil tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan akan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No.4) (Pindaan) (No.16) 2021,” tegasnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai keberadaan penduduk dari Kg Pondo, Pulau Gaya yang mengelak daripada dikenakan PKPD digesa supaya menyalurkan maklumat tersebut ke balai polis terdekat.

Sementara itu, arahan kawalan kendiri diberikan kepada penghuni kawasan PKPD di Taman Zifa, Beaufort.

Masidi berkata saringan kes di lokaliti berkenaan menunjukkan peningkatan kes dengan 67 peratus (67%) dikesan positif meliputi 83 kes positif daripada 190 penduduk setakat ini.

“Oleh itu, pihak Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah Beaufort memohon semua penduduk kawasan sekitar yang mengalami simptom dan bergejala agar mengambil pendekatan kawalan kendiri dengan hadir saringan di klinik kesihatan bagi membendung penularan kes di lokaliti tersebut,” tambah beliau.