KOTA KINABALU, SABAH – Kluster Hamparan 2 di Sukau, Kinabatangan yang dikesan kelmarin (26 Ogos) merupakan kluster jenis tempat kerja ladang kelapa sawit.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun memperincikan kes indeks adalah seorang pembantu klinik, wanita, 24 tahun, yang disahkan positif pada 18 Ogos.
“Beliau telah bergejala sejak enam (6) hari sebelum keputusan dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut…
“Daripada 77 kontak yang disaring, terdapat 20 lagi kontak sosial, pekerja dan tanggungan turut dijangkiti Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini sebanyak 21 kes,” jelasnya.
Dalam pada itu, tiga kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) ketika mana Sabah telah mencatat 3,487 kes kelmarin (26 Ogos).
“Kawasan ini termasuk Kampung Kapakaan Biah di Keningau, Kampung Paris di Kinabatangan dan Kampung Sungai Imam di Tawau bekuat kuasa 28 Ogos sehingga 10 September,” beliau berkata.
Terdapat 122 bilangan PKPD aktif di seluruh Sabah dan 70 peratus (70%) daripada jumlah kapasiti katil negeri (6,935 unit) sedang digunakan.