Pemimpin WHO Tegaskan Seluruh Gunia Perlu Dapat Manfaat Vaksin COVID-19

Pemimpin WHO Tegaskan Seluruh Gunia Perlu Dapat Manfaat Vaksin COVID-19

0
SHARE

GENEVA, SWITZERLAND – Pemimpin tertinggi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memuji kemajuan pesat pembangunan vaksin COVID-19, namun menegaskan pada Jumaat bahawa setiap negara wajar menerima manfaatnya.

“Vaksin akan menjadi alat penting untuk menangani pandemik, dan kami didorong oleh hasil awal ujian klinikal yang dikeluarkan minggu ini,” kata Tedros Adhanom Ghebreyesus, ketika menutup perhimpunan tahunan WHO.

Memetik laporan AFP, syarikat gergasi farmasi Amerika Syarikat, (AS) Pfizer dan rakannya dari Jerman, BioNTech pada Isnin mengumumkan bahawa calon vaksin mereka terbukti 90 peratus berkesan dalam percubaan fasa akhir membabitkan lebih 40,000 orang, kurang setahun selepas virus itu muncul di China.

“Tidak pernah dalam sejarah penyelidikan vaksin berjalan begitu cepat. Kita mesti menerapkan desakan dan inovasi yang sama untuk memastikan semua negara mendapat manfaat daripada pencapaian saintifik ini,” kata Tedros.

COVID-19 sudah membunuh hampir 1.3 juta orang di seluruh dunia sementara lebih 52.7 juta kes jangkitan didaftarkan, menurut data daripada sumber rasmi yang dikumpulkan AFP.

Bagaimanapun, jumlah itu hanya mencerminkan sebilangan kecil daripada jumlah jangkitan sebenar. Sebilangan besar negara hanya menguji kes bergejala atau yang paling serius.

Tedros berkata pandemik menunjukkan adanya keperluan mendesak untuk “sistem yang dipersetujui secara global berkongsi patogen dan sampel klinikal”, untuk mempermudahkan pembangunan vaksin, diagnostik dan terapi COVID-19 yang cepat sebagai “barang awam global.”

Tedros Adhanom Ghebreyesus…

Beliau berkata sistem tidak boleh menunggu perjanjian dua hala yang boleh memakan masa bertahun-tahun untuk dirundingkan.

“Kami mencadangkan pendekatan baharu yang akan merangkumi repositori untuk bahan-bahan yang disimpan oleh WHO di sebuah fasiliti Swiss yang selamat; perjanjian bahawa berkongsi bahan ke dalam repositori ini adalah sukarela; bahawa WHO dapat memudahkan pemindahan dan penggunaan bahan; dan satu set kriteria di mana WHO akan mengagihkannya,” kata Tedros.

Ketua Pengarah agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu mengucapkan terima kasih kepada Thailand dan Itali kerana menawarkan diri untuk menyediakan bahan dan mempelopori pendekatan baharu, dan Switzerland kerana menawarkan makmal.

Negara anggota WHO pada Jumaat meluluskan resolusi mengenai pengukuhan kesiapsiagaan untuk keadaan kecemasan kesihatan.

Resolusi itu meminta negara-negara mengutamakan peningkatan, dan koordinasi untuk kesiapsiagaan darurat kesihatan.

Ia juga mendesak negara-negara untuk terus mengembangkan kemampuan mereka mengesan penyakit berjangkit, sesuai dengan Peraturan Kesihatan Antarabangsa.