WASHINGTON – Penduduk Washington tidak lagi perlu memakai pelitup muka (facemask) mulai minggu depan KECUALI di tempat-tempat tertentu seperti pengangkutan awam dan sekolah.
Memetik laporan AFP, jurucakap pihak berkuasa berkata, ini kerana jangkitan COVID-19 di ibu negara Amerika Syarikat (AS) itu semakin berkurangan.
“Bermula Isnin, 22 November, pihak berkuasa akan menarik balik peraturan pelitup muka dalam bangunan,” umum Muriel Bowser di Twitter miliknya baru-baru ini.
Perniagaan swasta boleh terus membuat peraturan mereka sendiri dan pemakaian pelitup muka masih diwajibkan di kenderaan awam, perpustakaan, pusat penjagaan, penjara dan beberapa pejabat pihak berkuasa tempatan.
Washington menetapkan mandat pelitup muka pada akhir Julai lalu, untuk mereka yang lengkap divaksinasi atau tidak ketika lonjakan jangkitan yang dikaitkan dengan varian Delta.
Ia juga melaksanakan langkah yang agak ketat untuk membendung penularan COVID-19, berbanding tempat lain di AS.
Bagaimanapun, panduan baharu itu dilihat bertentangan dengan piawaian ditetapkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).





