Penganjur Himpunan #KamiMajuAirSabah Akan Dipanggil Ikut Akta Perhimpunan Aman

Penganjur Himpunan #KamiMajuAirSabah Akan Dipanggil Ikut Akta Perhimpunan Aman

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pihak penganjur demonstrasi #KamiMahuAirSabah akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.

Perkara itu disahkan oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Jikun hari ini.

Jelasnya, setakat ini, seramai sembilan individu di kalangan peserta perhimpunan terbabit telah ditahan namun ianya adalah berkaitan kesalahan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan sah.

“Polis akan memanggil penganjur perhimpunan ini mengikut Akta Perhimpunan Aman dan memang ada tangkapan namun bukannya di bawah Akta Perhimpunan Aman, sebaliknya tidak ada mempunyai dokumen.

“Kita menasihatkan para pelajar-pelajar ini bertanya terlebih dahulu kepada pihak yang relevan, apa tindakan yang diambil untuk menyelesaikan masalah ini.

“Perhimpunan ini tidak mempunyai kelulusan, sebagai pelajar mereka golongan terpelajar dan mempunyai fikiran yang cemerlang dan bukannya terlibat dengan perkara melanggar undang-undang merujuk kepada perhimpunan ini,” katanya di sini, hari ini.

Setakat ini, jelasnya peserta demonstrasi semalam sudah bersurai dari perkarangan Menara Kinabalu susulan perhimpunan pada Jumaat lalu.

Semalam, perhimpunan disertai kira-kira 80 individu yang berarak dari arah kampus UMS ke Menara Kinabalu untuk menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berhubung masalah bekalan air di negeri ini.