Tindakan Demonstrasi Mahasiswa UMS Adalah Sikap Kurang Matang – Shahelmey 

Tindakan Demonstrasi Mahasiswa UMS Adalah Sikap Kurang Matang – Shahelmey 

0
SHARE

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya menyifatkan tindakan demonstrasi atau perhimpunan #KamiMahuAirSabah oleh mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam adalah satu sikap kurang matang dalam berurusan secara rasmi mahupun dalam menyuarakan pendapat.

Beliau berkata, kumpulan mahasiswa UMS itu sepatutnya mempunyai etika dalam berurusan secara rasmi terutama berurusan dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor. 

“Jadi saya berharap mereka mengambil iktibar daripada pengalaman ini untuk menjadi rakyat yang beretika dan lebih matang dalam membuat keputusan. 

“Kita di pihak kerajaan sentiasa menerima apa juga bentuk komen secara beretika dan bukan cara yang bukan melalui budaya kita,” katanya ketika ditanya mengenai tindakan perhimpunan kumpulan mahasiswa semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lembu Korban Sempena Hari Raya Aidiladha di Pejabat Daerah Putatan, hari ini.

Semalam, kumpulan perhimpunan yang disertai kira-kira 80 individu itu telah berarak kira-kira tiga kilometer dari kampus UMS ke perkarangan Menara Kinabalu untuk menghantar memorandum tersebut kepada Hajiji.

Bagaimanapun, memorandum tersebut sepatutnya diterima oleh Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya, namun kumpulan mahasiswa itu enggan menyerahkan kepadanya.

Pagi tadi dilaporkan kumpulan mahasiswa perhimpunan telah bersurai pada jam 7 pagi selepas 17 jam menunggu Ketua Menteri di perkarangan Menara Kinabalu untuk penyerahan memorandum tuntutan penyelesaian masalah bekalan air.

Sebelum bersurai mahasiswa menyatakan bahawa memorandum itu tidak lagi akan diserahkan kepada Hajiji dan meminta Hajiji untuk mencari sendiri memorandum tersebut di media sosial.

Terdahulu, turut dilaporkan Ketua Menteri bersetuju untuk mengadakan pertemuan dengan kumpulan mahasiswa ini bagi penyerahan memorandum pada minggu hadapan, namun ditolak.