KENINGAU, SABAH – Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, pesta Durian dan Buah-Buahan Keningau mampu melonjakkan ekonomi para petani, pengusaha dan sektor pelancongan apabila diadakan setiap tahun dan diperkembang ke pelbagai daerah.
Katanya, pada hari pertama pesta memperlihatkan jualan durian mencapai enam tan manakala sektor perhotelan menerima tempahan pengunjung dari pelbagai tempat.
“Tempahan bilik-bilik hotel (di Keningau) penuh,” katanya yang juga Ahli Parlimen Keningau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan ketika merasmikan penutupan pesta itu.
Dr. Jeffrey yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan, yakin pesta itu dapat menggalak penanaman buah-buahan sebagai aktiviti ekonomi yang menuntungkan dan seterusnya mempromosi Keningau sebagai ‘Lembah Buah-Buahan Sabah’.
Pesta yang dianjurkan oleh jawatankuasa dipengerusikan Pegawai Daerah, Walter Kenson itu berlangsung 8-10 Oktober di Dataran Bandar Baru Keningau dalam kawasan Pusat Beli-Belah Bataras.
Pelbagai program pembangunan tanaman diadakan yang merangkumi penanaman dan pemeliharaan durian, pelancongan durian, pengurusan tanaman bermutu tinggi dan pengurusan hasil mangga serta pisang untuk pasaran setempat dan eksport.
Turut diadakan ialah hadiah terbaik buah durian, buah naga dan nanas serta pementasan kanak-kanak dan remaja.
Pesta itu turut melibatkan pengeluaran tanaman makanan dari daerah-daerah sekitar seperti Tenom (pamelo), Keningau (Musang King), Tambunan (avokado) dan Beaufort (nanas).
Turut dipamerkan ialah hasil penyelidikan Jabatan Pertanian berkaitan variasi avokado, nanas, tuhau dan sancha inchi.
Hadir sama di majlis penutupan itu ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Angin; Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik @ Nordin; Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Flovea Ng; dan Pengerusi Sabah Energy Corporation (SEC), Datuk Annuar Ayub Aman.





