PUTRAJAYA – Satu persefahaman dapat dicapai pihak Kerajaan dan Pembangkang di pejabat Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob di Bangunan Perdana Putra, hari ini.
Pertemuan itu diadakan atas nasihat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk meredakan suhu politik dalam negara.
Hadir bersama ketua Pembangkang dan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Pertemuan bersama yang dilakukan hari ini juga menjurus kepada memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir ursu eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.
“Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks ‘Keluarga Malaysia’,” ikrar mereka dalam pertemuan itu.
Menurut Anwar yang dipetik kenyataan BH Online, beliau menganggap pertemuan lebih sejam itu sebagai permulaan yang baik untuk kemukakan jalan penyelesaian bagi mengatasi pandemik COVID-19 yang berkesan.
“Antaranya program pro-rakyat yang lebih menyentuh permasalahan golongan miskin dan hilang pekerjaan. Itu yang akan kita tekankan sebagai asas…
“Pertemuan itu tidak menyentuh jalinan kerjasama kerajaan dengan blok pembangkang dalam Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani COVID-19,” katanya.
Tambah beliau, sokongan itu akan diberikan sekiranya dasar dan program dilaksanakan Perdana Menteri itu pro-rakyat dan mampu menyelesaikan isu pandemik COVID-19.
Pada kesempatan itu juga, Anwar turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang mewakili parti UMNO kerana sanggup berbincang dengannya yang mewakili PKR, AMANAH dan DAP.