TAWAU: Seorang lelaki berpura-pura mahu membeli telefon bimbit sebelum bertindak melarikan telefon bimbit di sebuah kedai telefon bimbit di sekitar bandar Tawau, petang kelmarin.
Bagaimanapun, taktik suspek warga tempatan berusia 23 tahun itu berjaya dipatahkan oleh pihak polis hasil bantuan dari orang awam kurang 40 minit selepas melarikan telefon bimbit berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 4.02 petang itu disedari pemilik kedai berkenaan lalu bertindak mengejar suspek.
“Suspek telah pergi ke kedai mangsa untuk melihat telefon bimbit jenis Samsung, bagaimanapun selepas melihat telefon tersebut suspek terus melarikan diri bersama telefon bimbit berkenaan.
“Mangsa kemudian bertindak mengejar suspek di sekitar bandar Tawau dengan bantuan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Tambahnya, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan Polis dari Unit Pencegahan Jenayah, Balai Polis Tawau telah sampai ke lokasi dan memberkas suspek yang telah diserahkan oleh orang awam bersama barang yang dicuri.
“Suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut dan kes di siasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ujarnya, semakan rekod jenayah mendapati suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan jenayah termasuk satu rekod dadah.
Beliau dalam pada itu, turut mengucapkan terima kasih kerana tindakan pantas orang awam dalam memberikan kerjasama kepada pihak Polis sehingga suspek berjaya diberkas.
“Kerjasama sebegini amat diperlukan dalam menangani kes jenayah di daerah ini selaras dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’ dan ‘Bersama ke Arah Tawau Sejahtera,” katanya.