SAMARKAND – “Moscow tidak terburu-buru mahu menamatkan kempen ketenteraan di Ukraine,” demikian kenyataan yang dikeluarkan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Putin pada Jumaat dan turut menjelaskan Moscow juga tiada rancangan mahu menyelaraskan semula operasi tersebut walaupun tentera Ukraine semakin memperhebatkan serangan balas sejak awal bulan lalu.
“Pelan kami tidak hanya tertakluk kepada pelarasan. Kempen ketenteraan kami di Donbas tidak pernah berhenti. Ia kini berada pada fasa perlahan, namun tentera Rusia masih berjaya menguasai wilayah baharu…
“Kami enggan tergesa-gesa dan tiada perubahan tahap operasi tersebut,” jelasnya ketika Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di bandar Samarkand, Uzbekistan.
Memetik laporan Sinar Harian, Putin turut menjelaskan operasi di Kiev itu hanya melibatkan anggota tentera kontrak dan matlamat utama mereka kekal untuk membebaskan seluruh wilayah Donbas.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mendakwa Rusia melakukan jenayah perang di timur laut negara itu susulan penemuan kubur besar mengandungi ratusan mayat dalam keadaan menyayat hati.
“Terdapat kira-kira 450 mayat ditanam dalam satu liang lahad di bandar Izyum, wilayah Kharkiv. Sebahagian daripadanya masih dalam keadaan tangan terikat. Ia adalah bukti jelas kekejaman tentera penceroboh…
“Penilaian lanjut sedang dilakukan setelah kerja penggalian semula sedang giat dijalankan. Komuniti antarabangsa perlu bertindak dengan pendedahan ini,” tegasnya.
Difahamkan, jika jumlah mayat itu disahkan, ia akan menjadi kubur terbesar pernah ditemui di Eropah sejak perang Balkan pada 1990-an.