
SINGAPURA – Sabah akan menjadi tuan rumah kepada Sidang Kemuncak Perkongsian Lautan ADEX tahun ini, mengukuhkan lagi reputasi negeri itu sebagai destinasi mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) terkemuka untuk mempromosikan inisiatif pemuliharaan marin dan pelancongan menyelam yang mampan.
Sidang kemuncak itu bertepatan dengan Ekspo Menyelam Asia (ADEX) yang berlangsung di Ekspo dan Pusat Konvensyen Sands Singapura dari 31 Mac sehingga 2 April.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai menghadiri perasmian ADEX Singapura dan turut melancarkan ADEX Sabah Ocean Partnership Summit 2023.
Hadir sama ialah ketua pegawai eksekutif ADEX John Thet; Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman; Ikon selam Malaysia dan duta selam ADEX Clement Lee; dan ketua pasukan ADEX Sabah Theresa Tham.
Dianjurkan dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah, sidang kemuncak itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah pada 18 hingga 20 Ogos.
“Sabah sudah pun menjadi destinasi menyelam yang popular dan kami komited memulihara ekosistem marin kami.
“Acara menarik ini akan menyokong inisiatif berterusan kerajaan Sabah dalam pemuliharaan lautan dan pembangunan mampan,” kata Joniston.
Beliau turut berharap dapat mengalu-alukan komuniti lautan global, penceramah terkenal, persaudaraan selam profesional dan peserta untuk membina rangkaian sambil berkongsi idea serta pengetahuan mengenai penyesuaian amalan terbaik untuk lautan.
Sabah merekodkan 61,796 penyelam pada 2022, dengan anggaran pendapatan RM222.8 juta.
Angka itu terdiri daripada 6,411 penyelam antarabangsa dan 55,384 penyelam domestik.
Pada 2019, Sabah mencatatkan 130,604 penyelam antarabangsa dan 7,145 penyelam domestik, dengan jumlah pendapatan RM821 juta.





