Sabah Kembali Catat Angka Tinggi Kes Harian COVID-19 Hari Ini

Sabah Kembali Catat Angka Tinggi Kes Harian COVID-19 Hari Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah mencatat angka jangkitan baharu yang tertinggi dengan 3,361 KES iaitu peningkatan sebanyak 392 kes berbanding semalam di samping dua (2) kluster baharu yang diisytiharkan hari ini.

Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kota Kinabalu mencatatkan jumlah kes tiga angka yang tertinggi dengan 782 kes.

Daerah itu diikuti Sandakan (374), Tuaran (310), Tawau (263), Penampang (254), Papar (244), Lahad Datu (152), Beaufort (123), Kota Belud (122) dan Ranau dengan 107 (kes).

Katanya kes bergejala kekal tinggi dengan 1,785 kes atau 53 peratus daripada keseluruhan jumlah hari ini.

“Sejumlah 18 daripada 27 daerah merekodkan kes bergejala yang lebih tinggi dan berkemungkinan daerah-daerah lain akan mencatatkan pertambahan yang sama…

“Kes-kes bergejala yang merebak adalah petanda virus itu aktif dalam masyarakat dan akan merebak dengan cepat dan secara meluas,” katanya.

Menurut beliau, jumlah kluster yang aktif diseluruh Sabah setakat ini ialah 36 kluster termasuk yang baharu diisytiharkan hari ini.

Kataya sebanyak 26 daripada kluster ini melibatkan institusi pendidikan, enam (5) Kluster Tempat Kerja, dua (2) Kluster Komuniti dan masing-masing satu (1) kluster untuk Kluster Keagamaan dan Kluster Berisiko Tinggi.

“Kluster Loboh Nabawan adalah Kluster Komuniti di Nabawan yang berkait-rapat dengan Majlis Penghormatan Terakhir dan Pengebumian di Kg Loboh Nabawan pada 1 Februari…

“Kes indeks adalah seorang perempuan berumur 59 tahun yang mula bergejala demam, batuk, selsema, sakit kepala dan sakit tekak pada lima hari berikutnya.

“Kes kemudiannya mendapatkan rawatan dan didapati positif setelah menjalani saringan dua hari selepas itu di Klinik Kesihatan Nabawan.

“Saringan Kontak Rapat telah dilakukan dan mendapati 16 lagi positif,” kata Masidi.

Sementara itu, Kluster Pengkalan Abai yang diisytiharkan di Kota Belud merupakan kluster institusi pendidikan yang melibatkan asrama perempuan SMKA Tun Said dan keluarga seorang guru.

“Indeks kes merupakan seorang pelajar perempuan berumur 18 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala pada 7 Februari…

“Saringan terhadap kontak rapat yang terdiri daripada guru, rakan sebilik dan sekelas telah mendapati 38 orang lagi telah dijangkiti.

“Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif Kluster ini ialah 39 kes setakat 11 Februari. Semua kes telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya,” Masidi berkata.

Kontak rapat tidak bergejala bagi kluster ini juga telah diberikan perintah kuarantin.

Sejumlah 3,353 (99 peratus) daripada 3,361 kes hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2. Hanya terdapat lima (5) kes dalam Kategori 3, dua (2) kes dalam Kategori 4 dan satu (1) kes dalam Kategori 5.

Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (11 Feb 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):

Kota Kinabalu – 782 (565)
Sandakan – 374 (327)
Tuaran – 310 (248)
Tawau – 263 (181)
Penampamg – 254 (346)
Papar – 244 (241)
Lahad Datu – 152 (151)
Beaufort – 123 (48)
Kota Belud – 122 (91)
Ranau – 107 (121)
Kota Marudu – 96 (84)
Semporna – 87 (62)
Kuala Penyu – 61 (43)
Keningau – 53 (88)
Kunak – 44 (50)
Kinabatangan – 43 (19)
Telupid – 32 (44)
Tenom – 32 (18)
Beluran – 30 (33)
Kudat – 29 (39)
Sipitang – 26 (40)
Putatan – 26 (47)
Pitas – 23 (22)
Nabawan – 22 (28)
Tambunan – 11 (16)
Tongod – 9 (11)
Kalabakan – 6 (6)