Semua Peguam Wakili Remaja Kes Buli Zara Secara Percuma – Ram Singh

Semua Peguam Wakili Remaja Kes Buli Zara Secara Percuma – Ram Singh

0
SHARE

KOTA KINABALU: Semua peguam yang mewakili lima remaja yang didakwa terbabit dalam kes buli membabitkan Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir telah tampil memberikan khidmat guaman secara pro bono (percuma).

Datuk Ram Singh yang merupakan peguam terkenal dalam kes-kes berprofil tinggi dan mewakili salah seorang remaja menegaskan, anak guam mereka bukan anak kepada mana-mana individu ternama atau VVIP.

“Sebaliknya hanyalah remaja yang tetap berhak mendapat pembelaan di sisi undang-undang.

“Anak guam kami bukan anak VVIP, sebaliknya seorang remaja biasa yang juga berhak dibela.

“Kami didekati keluarga untuk membantu, dan bersama peguam lain, kami bersetuju untuk mewakili mereka secara pro bono,” katanya kepada New Straits Times (NST) sebelum prosiding bermula di Mahkamah Kanak-Kanak, pada pagi Rabu.

Ram Singh bersama Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili salah seorang tertuduh, manakala empat lagi diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan.

Menurut Azhier, tertuduh yang diwakilinya juga perlu diberi peluang yang dijamin undang-undang untuk mengemukakan bukti dan keterangan di mahkamah.

“Anak guam kami berhak mendapat perlindungan undang-undang termasuk hak untuk membela diri dengan keterangan yang sah,” katanya.