SESB Perlu Sokongan Kerajaan Bina Jana Kuasa 700MW Dengan Kerjasama China

SESB Perlu Sokongan Kerajaan Bina Jana Kuasa 700MW Dengan Kerjasama China

0
SHARE
Madius
Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau

KUALA LUMPUR – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merancang untuk membina jana kuasa berkapasiti 700MW sebagai langkah penyelesaian masalah catuan bekalan elektrik di Sabah secara tuntas.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, untuk tujuan itu SESB sangat memerlukan bantuan dan sokongan daripada kerajaan pusat dan kerajaan Sabah.

“SESB bercadang untuk membina penjana kuasa Combine Cycle Gas Turbine (CCGT) yang dimiliki sepenuhnya oleh SESB dengan bantuan kewangan melalui belt and road initiative dengan kerjasama negara China.

“Berhubung perkara ini, Tuaran memohon sokongan daripada Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim supaya memasukkan rancangan ini dalam agenda perbincangan dengan Presiden Negara China, Xi Jinping  dalam siri lawatan beliau ke negara ini sempena 50 tahun persahabatan antara China dan Malaysia pada tahun hadapan,” katanya.

Madius yang juga pengerusi SESB berkata demikian pada sesi ucapan perbahasan parlimen Dewan Rakyat, di sini pada Selasa.

Beliau turut memberi jaminan untuk memastikan seluruh warga SESB melakukan persiapan yang terbaik dan  memberikan komitmen yang tinggi bagi menjayakan rancangan tersebut

“Sebagai makluman, penjanaan 700MW bekalan tenaga elektrik ini akan beroperasi menggunakan gas.

“Oleh yang demikian Tuaran meminta supaya pihak kerajaan memberi arahan kepada PETRONAS untuk membekalkan gas pada kadar RM15/mmBTU kepada SESB untuk tujuan ini.

“Dengan sokongan penuh daripada semua pihak, kita berharap penjana kuasa berkenaan dapat disiapkan dalam masa kurang daripada dua tahun selepas kelulusan diperolehi.

“Saya ulangi langkah ini adalah sangat penting untuk menstabilkan bekalan elektrik di Sabah,” katanya.