Speaker Tekankan Kepentingan Ahli Parlimen Patuhi SOP Untuk Cegah COVID-19

Speaker Tekankan Kepentingan Ahli Parlimen Patuhi SOP Untuk Cegah COVID-19

0
SHARE
Tan Sri Azhar Azizan Harun...

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun berkata pihaknya tidak menghalang Ahli Parlimen yang berada di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur semalam daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat, selagi mereka tidak menunjukkan sebarang gejala berkaitan COVID-19.

Bagaimanapun, beliau menekankan kepentingan Ahli Parlimen untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan wabak itu termasuk ketika berada di luar Dewan Rakyat.

“Kita pun tidak tahu kalau ada orang (yang hadir di perkarangan mahkamah) COVID-19 dan mereka sudah menjangkiti Ahli-ahli Yang Berhormat yang hadir bersama mereka semalam…

“Saya rasa selagi tidak dibuktikan bahawa mereka (Ahli Parlimen) mempunyai gejala COVID-19, maka kita tidak boleh menghalang mereka daripada masuk ke dewan ini,” katanya menjawab persoalan dibangkitkan RSN Rayer (PH-Jelutong) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Memetik laporan Bernama, Rayer membangkitan persoalan itu susulan beberapa Ahli Parlimen hadir di perkarangan mahkamah berkenaan dengan mendakwa terdapat dalam kalangan mereka tidak memakai pelitup muka.

Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (PH-Lumut) pula bertanya sama ada Ahli Parlimen terbabit perlu menjalani ujian calitan COVID-19, namun Azhar berkata ia terserah kepada pihak Kementerian Kesihatan.

Semalam, beberapa Ahli Parlimen menghadiri perhimpunan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk memberi sokongan dan mengikuti keputusan perbicaraan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.