SEORANG suri rumah berkongsi rahsia resipi ayam masak halia yang mudah dan sedap dan yang pastinya akan disukai ramai.
Suri rumah yang dikenali dengan nama Fdlah Ila telah berkongsi resepi tersebut menerusi hantarannya di laman Facebook baru-baru ini.
Memetik laporan Mstar, berikut resipi yang dikongsikannya.
Bahan-bahan:
1) Isi ayam yang sudah dihiris nipis
2) Cili kering yang sudah dipotong
3) Bawang merah yang dibelah enam
4) Bawang putih yang dicincang
5) Halia yang dihiris nipis secara memanjang, lebih banyak lebih sedap
6) Sos tiram
7) Serbuk lada hitam
8) Tepung jagung
9) Daun bawang yang sudah dipotong
Sebagai peringatan, sediakan kuantiti bahan mengikut nisbah jumlah isi ayam.
Penyediannya:
1) Panaskan minyak, kemudian goreng cili kering sehingga garing. Selepas itu, angkat dan ketepikan
2) Dengan menggunakan minyak sama, goreng bawang merah, bawang putih dan halia yang dihiris tadi. Apabila sudah layu, terus angkat dan ketepikan.
3) Masih menggunakan minyak sama, goreng ayam seketika dan masukkan sedikit air, biarkan ia ditumis seketika.
4) Seterusnya masukkan sos tiram dan sedikit serbuk lada hitam, kacau sehingga sebati.
5) Masukkan semula cili kering, bawang dan halia yang sudah ditumis tadi.
6) Tambahkan tepung jagung dengan sedikit air untuk memekatkan kuah.
7) Akhir sekali masukkan garam sebagai perasa dan kacau rata. Sebelum tutup api, boleh taburkan daun bawang. Siap!
“Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!” kongsi Fdlah Ila.