
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan pecah amanah membabitkan wang RM1 juta dana milik Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).
Syed Saddiq yang mengaku tidak bersalah memohon untuk dibicarakan selepas selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Mengikut pertuduhan, Syed Saddiq, 29, pada 6 Mac 2020, yang ketika itu menjawat jawatan Ketua ARMADA melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana berjumlah RM1 juta, di mana beliau membuat pengeluaran dana berkenaan melalui cek CIMB Bank Berhad bernombor 000108 tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral, Kuala Lumpur.