KUALA LUMPUR – Tidak timbul sebarang isu ‘crossing the floor’ apabila empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) duduk di blok kerajaan pada sidang Dewan Rakyat 19 Disember yang lepas.
Memetik sumber Free Malaysia Today, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, menegaskan beliau bersama tiga lagi Ahli Parlimen gabungan terbabit bertanding menggunakan tiket GRS.
GRS kini antara gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan (WARISAN).
“Saya faham kekecewaan dan kemarahan beliau (Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee) apabila tidak terpilih sebagai calon GRS pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
“Hakikatnya inilah perbezaan status kami dengan beliau pada pilihan raya. Itu juga adalah hak Ronald untuk mengemukakan pendiriannya,” katanya.
Terdahulu, Ronald merangkap Pengerusi BERSATU Sabah berkata pihaknya telah menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi memaklumkan berlaku kekosongan luar jangka membabitkan empat wakil rakyat terbabit GRS itu yang didakwanya ditandingi ahli BERSATU.
Katanya, permohonan sudah dibuat kepada Speaker Dewan Rakyat supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.
Polemik mengenai status empat Ahli Parlimen itu timbul selepas mereka bertanding pada PRU15 atas tiket GRS, namun pada masa sama menjadi ahli BERSATU dan bertindak menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Empat wakil rakyat GRS terbabit adalah Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar; Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi); Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin.
Mengulas lanjut, Armizan turut berkata pengundi Papar telah memilihnya untuk menjadi Ahli Parlimen mereka berdasarkan keputusan PRU15.
“(Yang pilih saya) bukan seorang hero Malaya baharu di Sabah. Banyak parti bantu saya dalam siri kempen.
“Selain komponen GRS, saya juga didukung melalui muafakat bersama BN, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), PAS, Parti Cinta Sabah (PCS), dan badan bukan kerajaan (NGO),” katanya