Dua Kapal Tangki Ditahan Lakukan Pemindahan Minyak

Dua Kapal Tangki Ditahan Lakukan Pemindahan Minyak

0
SHARE

LABUAN – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Labuan telah menahan dua buah kapal tangki yang disyaki melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran, awal pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, aset Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan rondaan rutin telah mengesan dua buah kapal tangki yang merapat diantara satu sama lain dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 1 batu nautika dari Labuan sekitar jam 3 pagi.

“Pasukan menggeledah telah melaksanakan pemeriksaan dan mendapati kapal-kapal berkenaan sedang giat melakukan aktiviti pemindahan minyak secara haram.

“Pemeriksaan keatas dokumentasi mendapati bahawa kedua-dua kapal terbabit tidak mempunyai dokumen kebenaran daripada Pengarah Jabatan Laut Malaysia untuk aktiviti pemindahan minyak.

“Selain itu, kawasan kejadian merupakan kawasan yang tidak digazetkan sebagai kawasan aktiviti pemindahan antara kapal (Ship-To-Ship Transfer),” katanya dalam kenyataan.

Kedua-dua kapal terbabit bersama lapan orang kru termasuk nakhoda yang berumur lingkungan 30-50 tahun ditahan untuk pemeriksaan lanjut. Kes disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.

“Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti perkapalan supaya mengikuti saluran yang betul dalam melakukan aktiviti Ship-to-Ship Transfer bagi mengelakkan daripada disabitkan kesalahan undang-undang,” tegasnya.