Tidak Dibenarkan Solat Jumaat Atas Jalan Raya Di Perancis

Tidak Dibenarkan Solat Jumaat Atas Jalan Raya Di Perancis

0
SHARE
Sumber Foto; AFP

PARIS – Pihak berkuasa Pe­rancis tidak lagi membenarkan orang Islam mengerjakan solat Jumaat di atas jalan di utara Paris, kata Menteri Dalam Nege­ri, Gerard Collomb kelmarin susulan tunjuk perasaan oleh Ahli Parlimen dan penduduk tempatan.

“Mereka tidak boleh solat di atas jalan, kami akan menghalang solat jalanan,” kata Collomb kepada media tempatan.

Solat Jumaat itu diadakan di Clichy-la-Garenne, pinggir Paris sejak Mac lalu bagi membantah penutupan masjid tempatan yang beroperasi di dalam sebuah bangunan kerajaan, namun telah ditukar menjadi perpustakaan.

Masyarakat Islam menuduh pihak berkuasa tidak menyediakan kawasan sesuai untuk membina masjid baharu dan Collomb mengakui keperluan untuk mencari alternatif tersebut.

“Orang Islam memerlukan sebuah tempat ibadah untuk solat.

“Kami akan pastikan dapat menyelesaikan konflik ini dalam beberapa minggu lagi,” tambahnya.

Sebuah pertubuhan Islam tempatan berkata, pihaknya bercadang untuk menunaikan solat di pusat bandar itu pada Jumaat ini.

Kawasan yang digunakan sebagai ruang solat itu dihalang kira-kira 100 orang ahli politik Perancis pada 10 November lalu dan mereka mengganggu jemaah dengan menyanyikan lagu kebangsaan Perancis.

Datuk Bandar Clichy, Remi Muzeau mendakwa terdapat sebuah lagi masjid di utara bandar itu, namun pemimpin-pemimpin masjid menolak idea itu kerana terlalu kecil dan sukar mendapatkan akses pengangkutan.

Perancis mempunyai kira-kira 5 juta penduduk Islam dan kebimbangan mengenai agama Islam mencabar undang-undang sekular negara menjadi topik utama dalam kempen pilihan raya Presiden pada tahun ini.