BRUSSELS – Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS), Britain dan Kanada semalam, mengenakan sekatan baharu kepada pegawai China susulan tindakan keras terhadap etnik Uighur dan minoriti Muslim.
Beijing pula membalas dengan mengenakan tindakan sama kepada Eropah.
Brussels, London dan Ottawa menyenarai hitam Zhu Hailun, Wang Junzheng, Wang Mingshan dan Chen Mingguo, iaitu bekas dan pegawai yang masih beroperasi di wilayah Xinjiang susulan dakwaan penganiayaan yang mencetus kemarahan antarabangsa.
Memetik laporan AFP, sekatan turut dikenakan terhadap sebuah badan separa tentera, Xianjing Production and Constrution Corps yang memiliki banyak kepentingan di wilayah itu.
Washington yang pernah menggantung dua daripada pegawai berkenaan pada Julai tahun lalu, semalam menambah dua lagi nama dalam senarai.
“Tindakan bersama menyampaikan mesej jelas bahawa komuniti antarabangsa bersatu dalam mengutuk pelanggaran hak asasi manusia di Xinjiang oleh China dan Beijing perlu menamatkan tindakan diskriminasi dan penindasan di wilayah itu,” kata Kementerian Luar Britain.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, berkata China berterusan melakukan genosid dan jenayah kemanusiaan di Xinjiang, dan menggesa Beijing menamatkan penindasan Uighur.
Menteri Luar Kanada, Marc Garneau berkata sekatan itu menunjukkan kebimbangan ketara terhadap pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan di Xinjiang.
Beijing menyelar tindakan EU dan segera membalas dengan mengumumkan sekatan kemasukan 10 warga Eropah, termasuk lima Ahlj Parlimen Eropah, serta dua anggota EU dan dua anggota kumpulan pemikir, yang kemudian dikritik EU.
“China sepatutnya mengubah dasar dan mengatasi kebimbangan dibangkitkan, namun memilih untuk menutup mata dan langkah ini amat dikesali dan tidak boleh diterima,” kata Ketua Dasar Luar EU, Josep Borrell.
Seorang penggubal undang-undang Jerman, Reinhard Butikofer yang menjadi sasaran sekatan itu menyifatkan tindak balas China sebagai ‘tidak tahu malu dan tidak munasabah’, manakala Belanda memanggil duta China selepas seorang Ahli Parlimen negara itu turut menjadi sasaran.
Kementerian Luar Perancis pula membidas sekatan itu dan turut memanggil Duta China ke Paris berhubung ‘komen yang tidak boleh diterima’ yang dibuatnya beberapa hari lalu.
Kumpulan hak asasi manusia percaya sekurang-kurangnya sejuta etnik Uighur dan beberapa minoriti Muslim lain ditahan dalam kem di Xinjiang, di mana China turut didakwa memaksa golongan wanita dimandulkan serta menjadikan individu ditahan sebagai ‘Buruh Paksa’.
Namun, China telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan buruh paksa membabitkan Uighur, sebaliknya memaklumkan program latihan, skim pekerjaan dan pendidikan yang lebih baik membantu melumpuhkan ekstremisme di wilayah itu.