TYT Sabah Akan Sempurnakan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 20 Julai Ini

TYT Sabah Akan Sempurnakan Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi 20 Julai Ini

0
SHARE
Juhar
Rombongan KUSKOP mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Seri Kinabalu ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

KOTA KINABALU, SABAH – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama agensi Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Kunjungan itu diketuai oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick dan diiringi oleh Ketua Setiausaha Kuskop Datuk Sri Suriani Ahmad.

Turut serta dalam kunjungan itu Naib Pengerusi Eksekutif (Operasi dan Kawal Selia) SKM, Siti Azlin Ahmad Dauta, Naib Pengerusi Eksekutif (Dasar dan Pembangunan) SKM Amran Abd Kadir, Pengarah SKM Negeri Sabah Matias Kundapin dan Pengarah Bahagian Pembangunan Koperasi SKM Mohd Firdaus Hussin.

Ewon berkata, kunjungan itu antaranya bertujuan memaklumkan dan seterusnya menjemput Tun Juhar menyempurnakan perasmian Majlis Apresiasi Gerakan Koperasi dan Hari Koperasi Negara (HKN) 2023 Sempena Bulan Koperasi Kebangsaan 2023, yang akan diadakan di The Magellan Sutera Resort, pada 20 Julai ini.

Beliau berkata, dua anugerah utama akan disampaikan sempena majlis itu, iaitu Tokoh Koperasi Negara dan Koperasi Premier Negara.

“Selain menghimpunkan gerakan koperasi dari seluruh Malaysia, HKN turut dihadiri pemimpin-pemimpin koperasi dari Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei, Filipina, Singapura dan Thailand,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

HKN yang julung kalinya diadakan di Sabah akan diadakan Sabah International Convention Centre (SICC) selama tiga hari bermula 21 Julai. Majlis Perasmian Hari Koperasi Negara akan diadakan pada 22 Julai (Sabtu).

Seramai 5,000 pengunjung dijangka menghadiri majlis itu. Pelbagai acara disusun sepanjang HKN, antaranya ekspo dan pameran daripada gerakan koperasi melibatkan 200 pempamer produk dan perkhidmatan dari dalam dan luar negara.

Selain itu, turut diadakan Forum Perdana, Pameran Kerjaya, Padan Niaga dan Jualan Murah MADANI.