UMNO Akan Cari Kerusi Parlimen Sesuai Buat KJ – Mohamad Hasan

UMNO Akan Cari Kerusi Parlimen Sesuai Buat KJ – Mohamad Hasan

0
SHARE
Dato Seri Utama Mohamad Hasan (Tok Mat)...

SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN – UMNO akan mencari tempat sesuai untuk penyandang kerusi Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Khairy yang juga Menteri Kesihatan merupakan pemimpin muda berkaliber dan baik untuk negara dan sudah tentu UMNO tidak mahu beliau ‘hilang’ begitu sahaja.

“Kita cuba cari tempat sesuai untuk beliau untuk bertanding di PRU-15,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau, di sini, hari ini seperti dilapor Bernama.

Terdahulu, pada mesyuarat sama, Khairy Jamaluddin (KJ) yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau dalam ucapan penggulungannya berkata beliau memberi laluan kerusi Parlimen Rembau kepada Mohamad pada PRU-15.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar…

“Itu semangat kekeluargaan di Rembau, kami beradat. Alhamdulillah kita akan pastikan jentera di Rembau dipertingkatkan lagi, tiada isu kerusi Rembau lagi,” kata Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau.

Mengenai mesyuarat perwakilan hari ini, Mohamad yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata parti itu perlu memberi tumpuan di beberapa kawasan yang mengalami kekalahan tipis pada PRU-14.

“Kita tidak cakap tentang sasaran kerusi,  sasaran kita nak menang jadi mesti melepasi 112 kerusi supaya dapat tubuhkan kerajaan pada PRU-15 ini…

“Kalau boleh menang banyak, lagi baik dan kawasan dulu yang kalah tipis perlu diberikan tumpuan yang lebih oleh pimpinan di kawasan tersebut,” katanya.