Vaksin Baharu Rusia Disyorkan Kepada Individu Berusia 18 Hingga 60 Tahun

Vaksin Baharu Rusia Disyorkan Kepada Individu Berusia 18 Hingga 60 Tahun

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

MOSCOW, RUSIA – Pusat Kesihatan Saintifik Kementerian Kesihatan Russia Vladimir Bondarev dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan bahawa vaksin baharu keluaran Rusia untuk COVID-19 disyorkan kepada individu berusia 18 hingga 60 tahun.

“Di Russia, menjadi kebiasaan untuk mengesahkan (vaksin untuk) kanak-kanak daripada lahir hingga 18 tahun; dewasa daripada 18 hingga 60 tahun; dan warga emas – berusia lebih 60 tahun…

“Kajian klinikal kini dilakukan terhadap sekumpulan sukarelawan berusia 18 hingga 60 tahun. Oleh itu, vaksin ini sekarang ditujukan untuk kegunaan kepada mereka yang berusia 18 hingga 60 tahun,” kata Bondarev dalam satu taklimat.

Memetik laporan Bernama, pakar itu turut berkata bahawa kajian klinikal tambahan diperlukan untuk warga emas dan mungkin akan dilakukan semasa ujian klinikal pasca pendaftaran, lapor agensi berita Sputnik.

Sementara itu, pengarah Institut Penyelidikan Kebangsaan Epidemiologi dan Mikrobiologi Gamaleya Alexander Gintsburg berkata, beliau yang bakal mencecah umur 60 tahun sudah diberikan suntikan dengan vaksin itu dan berada dalam keadaan baik.

Awal minggu ini, Russia mengumumkan untuk mendaftarkan vaksin COVID-19 pertama di dunia, dikenali Sputnik V.

Presidennya, Vladimir Putin sudah memberi kelulusan terhadap vaksin itu.

Vaksin itu dibangunkan secara bersama oleh institut penyelidikan Gamaleya dan Dana Pelaburan Langsung Russia.

Sehingga kini vaksin berkenaan sudah diuji terhadap 76 sukarelawan di dua institusi – Universiti Sechenov di Moscow dan Hospital Tentera Burdenko di Kementerian Pertahanan.