
PUTATAN, SABAH – Seorang warga emas ditemui lemas selepas keluar memancing di Kuala Putatan 2 hari ini.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, mayat mangsa Mohd Sajd Lumait, 71, ditemui oleh orang awam pada jam 4.04 petang.
“Mangsa ditemui lebih kurang satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang,” kata seorang jurucakap agensi.
Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung kes dari pihak polis pada jam 2.02 petang.
“Menurut maklumat pengadu, mangsa bersama seorang rakan menjalankan aktiviti memukat ikan di pesisir pantai Kuala Putatan 2 sekitar jam 10 pagi.
“Mangsa disedari hilang oleh rakannya pada jam 12 tengah hari.
“Pasukan bomba bergegas ke lokasi bagi mendapatkan maklumat lanjut seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat dipersisiran pantai,” tambahnya.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.