CHERAS – Tindakan licik tiga warga Nigeria yang menyorokkan bekalan dadah dalam kereta terbongkar apabila ditahan polis bersama 17 kilogram ganja dalam serbuan di kondominium di Taman Connaught, Cheras, Khamis lalu.
Menurut laporan Harian Metro, dipetik berkata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon bahawa, serbuan dilakukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras selepas menerima maklumat awam.
Beliau berkata, ketika serbuan dilakukan polis turut menemui sebungkus dadah jenis ganja seberat 0.56 gram di ruang tanu rumah berkenaan.
“Susulan dari tangkapan itu, suspek membawa polis ke ruang parkir kondominium berkenaan tempat suspek menyorokkan dadah di kereta.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui dua beg yang berisi 16.48 kilogram ketulan mampat dipercayai ganja bernilai RM43,800,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Adnan berkata, siasatan awal mendapati tiga warga asing itu mengaku masuk ke negara ini sebagai penuntut di kolej di Cheras.
“Polis percaya semua suspek mempunyai rangkaian dengan sindiket pengedaran dadah warga asing di negara ini.
“Semua dadah berkenaan adalah untuk dipasarkan di sekitar lembah klang,” katanya.
Menurut Adnan, suspek dipercayai aktif melakukan aktiviti pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu.
“Semua suspek kini direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.