Warisan Tidak Mampu Alasan Rina Keluar Parti

Warisan Tidak Mampu Alasan Rina Keluar Parti

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kekangan bantuan, pembinaan infrastruktur dan banyak lagi tidak dapat dilakukan di bawah naungan Parti Warisan walaupun sudah hampir dua tahun Rina Jainal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan.

Katanya banyak keperluan rakyat sukar dipenuhi akibat kekangan yang ada biarpun sering turun padang dan berjumpa dengan mereka.

“Puas diusahakan termasuk permohonan di agensi kerajaan dan kenalan, tetap ada juga yang terpaksa diabaikan…

“Keputusan keluar daripada Warisan bukan dibuat dalam waktu yang singkat, sebaliknya banyak pertimbangan dilakukan dengan mendengar pendapat daripada pelbagai pihak.

“Perkhidmatan kepada rakyat perlu diutamakan. Malah, presiden WARISAN sendiri pernah berkata, rakan sekutu terbaik bagi ahli politik atau parti adalah rakyat. Justeru, saya memilih untuk mengutamakan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Rina menepis tuduhan yang beliau kononnya dibeli sambil berkata jika dia mahukan “imbuhan” sudah lama dia akan keluar Warisan dan menerima pelawaan dari parti-parti besar sebelum ini.

“Bagaimanapun, daripada sehari ke sehari, saya menyedari tanggungjawab ke atas rakyat tetap perlu menjadi keutamaan tidak kira apa juga status sama ada kerajaan mahupun pembangkang…

“Saya berharap rakyat khususnya penduduk di mukim Kukusan memberi peluang dan ruang kepada saya membuktikan keputusan bersama Harapan Rakyat adalah langkah betul dalam membela nasib anda,” tambahnya.