HANOI, VIETNAM – Sebuah syarikat farmaseutikal Vietnam memulakan ujian vaksin Coronavirus (COVID-19) ke atas sukarelawan di sini, semalam, ketika negara membangun dan negara maju berlumba-lumba untuk mendapat akses suntikan pada kos yang berpatutan.
Nanocovax oleh Nanogen, satu daripada empat (4) vaksin yang sedang dibangunkan di Vietnam dan wakil syarikat itu berkata, ia dianggarkan berharga kira-kira AS$5 setiap dos.
Tiga (3) sukarelawan menerima suntikan pada Khamis dan akan dipantau selama 72 jam di Universiti Perubatan Tentera Vietnam.
Nguyen Ngo Quang dari kementerian kesihatan, berkata 60 peserta akan menerima vaksin itu pada percubaan fasa pertama.
Pengarah universiti, Do Quyet, berkata kakitangan perubatan sudah bersedia jika terdapat mana-mana peserta yang menunjukkan kesan sampingan.
“Kita semua berfikir yang COVID musuh kita. Jadi, kita sedang bersedia untuk berperang. Kita perlu bersedia dengan berhati-hati dan kita perlu menang,” katanya kepada pemberita ketika menerangkan mengenai percubaan klinikal itu.
Memetik laporan AFP, Vietnam menerima pujian di seluruh dunia berikutan caranya menangani wabak berkenaan, dengan lebih 1,400 kes dan 35 kematian di negara yang mempunyai kira-kira 96 juta penduduk itu.
Terdapat kebimbangan sekurang-kurangnya satu perlima (1/5) daripada penduduk dunia tidak mendapat akses kepada vaksin COVID-19 sehingga 2022, demikian menurut satu kajian yang diterbitkan pada Rabu lalu.
Penyelidik dari Johns Hopkins Bloomberg School of Public Health mendapati, negara kaya yang merangkumi hanya 14 peratus daripada populasi dunia sudah pun membuat tempahan awal bagi separuh daripada jumlah dos vaksin yang dijangka dihasilkan 13 syarikat pembangun terkemuka tahun depan.
Penyelidik berkata, Kanada menempah jumlah yang menyamai empat dos bagi setiap orang, Amerika Syarikat (AS) satu kali suntikan (lebih dua dos), manakala negara seperti Indonesia pula kurang daripada satu kali suntikan bagi setiap dua orang.





