WASHINGTON – Rancangan untuk memberi suntikan vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun sedang dalam proses menunggu kelulusan Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, demikian menurut Amerika Syarikat (AS) melalui Rumah Putih (White House).
Rumah Putih dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa vaksin COVID-19 itu akan segera diedarkan ke seluruh negara sekiranya memperoleh kelulusan agensi berkenaan.
“Menjelang mesyuarat jawatankuasa bebas FDA pada 26 Oktober dan mesyuarat jawatankuasa penasihat bebas CDC pada 2 hingga 3 November ini…
“Hari ini, pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, mengumumkan jika vaksin dibenarkan untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun, ia akan diedar secepat mungkin dan tersedia dengan mudah serta adil kepada keluarga di seluruh negara,” katanya.
Menurut Rumah Putih lagi, pelaksanaan program vaksinasi untuk kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun bergantung pada proses dan jangka masa kelulusan FDA dan CDC.
Tambahnya, AS bersedia untuk memulakan pemberian suntikan pelalian itu beberapa hari selepas saranan akhir dibuat oleh CDC.
Pentadbiran Biden memperoleh cukup vaksin untuk menyokong program imunisasi negara membabitkan seramai 28 juta kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun, menurut Rumah Putih.

Koordinator COVID-19 Rumah Putih, Jeffrey Zients, semalam berkata pentadbiran Biden menyasarkan untuk merancang ke hadapan supaya dapat berjalan lancar, namun pakar di FDA dan CDC yang akan memutuskan perkara itu.
Penasihat vaksin FDA dijadual bertemu minggu depan untuk membincangkan mengenai data berkaitan keselamatan dan keberkesanan vaksin pediatrik keluaran Pfizer-BioNTech.
Sekiranya ia dibenarkan oleh FDA, maka vaksin Pfizer-BioNTech akan menjadi vaksin COVID-19 pertama untuk kanak-kanak lebih muda.
Ketika ini, vaksin Pfizer-BioNTech diberikan kelulusan penuh untuk disuntik pada individu berusia 16 tahun dan ke atas termasuk kegunaan kecemasan dari FDA bagi kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun.

Menurut Pfizer pada tahun lalu, ujian Fasa 2 dan 3 menunjukkan vaksin COVID-19 yang dibangunkan firma farmaseutikal itu adalah selamat dan menghasilkan tindak balas antibodi yang kuat bagi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.
Ujian itu membabitkan 2,268 peserta berumur 5 hingga 11 tahun dan menggunakan dua dos rejimen vaksin dalam tempoh 21 hari.





