
PAPAR, SABAH – Seorang bayi berusia empat tahun melecur pada bahagian kaki dan kepala selepas rumah keluarganya di pekan lama Kimanis sini musnah dalam kebakaran pada Jumaat.
Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah melaporkan rumah 2 tingkat jenis tidak kekal berkeluasan 30×50 kaki itu terbakar 100 peratus dalam kejadian kira-kira 9.25 pagi.
“Operasi pemadaman menggunakan satu aliran 300 kaki dua pancutan sumber air daripada jentera dan pili bomba.
“Enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis berada di lokasi dengan bantuan lapan lagi dari BBP Papar,” kata seorang jurucakap bagi agensi.
Katanya, bayi terbabit dikejarkan ke Hospital Papar oleh keluarga mangsa sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Operasi terkawal pada jam 9.35 pagi dan tamat sepenuhnya pada jam 12 tengah hari,” tambahnya.





