KUALA LUMPUR – Artis dibawah naungan Rocketfuel Entertainment, Wani Kayrie, bakal tampil membuat persembahan di Majlis 28th Asian Television Awards pada 12 dan 13 Januari ini bertempat di Vietnam.
Penyanyi kelahiran Sabah itu berkata beliau berasa bersemangar dan tidak sabar untuk mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.
“Perasaan teruja serta berkobar-kobar sangat menebal di jiwa saya selain merasa bertuah, kerana dipilih mewakili negara buat kedua kalinya untuk membawa nama Malaysia selain nama label naungan saya, Rocketfuel Entertainment.
“Saya sangat berbesar hati dengan pemilihan ini dan berjanji akan memberikan yang terbaik ketika berada di sana nanti.
“Saya juga sedang mempersiapkan diri dari segi latihan vokal secara bersendiri tanpa bantuan dari mana-mana pihak, ini termasuk koreografi yang turut dilakukan secara bersendirian juga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata akan menyanyikan dua buah lagu sendiri iaitu ‘Kamu Kamu’ dan ‘Fajar’, manakala satu lagi lagu ‘Bang Bang’ nyanyian Ariana Grande dengan versinya sendiri.
“Saya berharap agar mendapat sokongan seluruh rakyat Malaysia dan doakan semuanya dapat berjalan dengan lancar. Ini adalah momen saya untuk menunjukkan bakat saya pada semua,” katanya.






