KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, mengambil tindakan proaktif menangani isu kesesakan di Pelabuhan Sepanggar selepas menerima maklum balas daripada persatuan logistik dan pengangkutan tempatan.
Beliau mengadakan lawatan susulan ke pelabuhan dan diberi taklimat oleh pengusaha pelabuhan, DP World, yang mengambil alih operasi sejak 9 September 2024.
Antara penambahbaikan termasuk pengenalan tiga kren Rubber Tyred Gantry (RTG) bagi mengurangkan kesesakan kontena di kawasan penyimpanan.
“Kecekapan di kawasan dermaga menunjukkan peningkatan ketara dengan masa menunggu kapal yang jauh berkurang,” jelasnya.
Namun, kesesakan masih berlaku di pintu masuk dan kawasan kontena susulan peningkatan eksport terutama dari Kibing Group yang menyumbang kepada pertumbuhan 11 peratus unit kontena TEU setakat Mei 2025.
Bagi menangani isu ini, DP World akan melaksanakan Vehicle Booking System (VBS) pada Julai 2025 bagi menjadualkan pergerakan lori secara lebih teratur.
“Pembesaran Pelabuhan Sepanggar juga dijangka siap menjelang suku ketiga 2026, membolehkan pelabuhan menampung lebih banyak kargo dan memperkukuh peranan Sabah sebagai hab logistik serantau.
Phoong memuji kerjasama DP World dan menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus menyokong industri tempatan.
“Kita yakin pelabuhan akan terus bertambah baik, menarik pelaburan dan memacu pertumbuhan industri Sabah,” katanya.






