GUIYANG, CHINA: Presiden Dewan Perdagangan Malaysia–China (MCCC) Sabah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), Datuk Dexter Lau, sekali lagi membuktikan kemampuan anak Sabah menggegarkan pentas antarabangsa apabila diundang sebagai penceramah utama di Forum Peringkat Tinggi Trade Connectivity and Global Expansion sempena Persidangan Usahawan Malaysia–China ke-15 di Guiyang, Wilayah Guizhou, China.
Acara berprestij yang berlangsung dari 12 hingga 14 Ogos itu menghimpunkan hampir 1,000 pemimpin kerajaan dan perniagaan dari Malaysia, China dan antarabangsa seterusnya memperkukuh kedudukan MCCC Sabah sebagai jambatan perdagangan serantau.
Dalam ucapan ‘dari hati ke hati’, Dexter berkongsi pengalaman mengemudi KTC daripada sebuah perniagaan tempatan di Sabah kepada peneraju barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) serantau.
Beliau menegaskan bahawa pengembangan global bukan lagi pilihan tetapi kewajipan, dengan empat teras strategi iaitu penyetempatan, teknologi digital, kerjasama strategik, dan kelestarian.
“Pengembangan global bukan sekadar membuka pasaran baharu, ia tentang membina asas kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang. KTC kini sedang mempersiapkan kepimpinan generasi keempat keluarga Lau agar syarikat terus cemerlang untuk 100 tahun akan datang,” tegas beliau.
Dexter turut mengimbas kisah semasa menuntut di Wharton School, University of Pennsylvania, apabila seorang profesor menegurnya bahawa beliau ‘belum bersedia’ menjadi usahawan kerana terlalu memikirkan apa yang ingin dilakukan berbanding pulangan dan pengembangan.
Kata-kata itu membentuk kesedaran bahawa kejayaan memerlukan model perniagaan jelas, strategi berkesan dan disiplin pengurusan kukuh.
Beliau juga menegaskan bahawa modal insan adalah teras kejayaan perniagaan, manakala tanggungjawab sosial korporat (CSR) perlu dilihat sebagai pelaburan strategik, bukan sekadar kewajipan moral.
Turut hadir memberi sokongan ialah ibu beliau, Datin Lim Fook Len, bersama delegasi MCCC Sabah. Kehadiran mereka menambah sentuhan mesra keluarga dalam lawatan bersejarah ini.
Barisan penceramah lain termasuk tokoh akademik dan industri dari Malaysia, China dan Hong Kong, antaranya Profesor Chen Xiaoyun, Dato’ Ho Kwee Hong, Grace Kwok, Han Ruiguo, dan Profesor Huang Ying, dengan sesi dikendalikan oleh Datuk Tan Yee Boon.
Ucapan Dexter mendapat tepukan gemuruh, mengangkat nama Sabah dan Borneo sebagai pemain penting dalam jaringan perdagangan global.






