KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah menegaskan kepentingan menjaga martabat dan integriti Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah (TYT) sebagai sebuah institusi yang dihormati dan menjadi lambang perpaduan, kesinambungan serta kedaulatan negeri.
Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh dalam satu kenyataan berkata, pihaknya memandang serius penularan hantaran media sosial yang berunsur hinaan, fitnah, palsu dan mengelirukan berkaitan TYT Sabah, sambil menegaskan bahawa ia tidak berasas serta boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi tersebut.
“Walaupun kebebasan bersuara dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, ia perlu diamalkan secara bertanggungjawab. Penyebaran maklumat menghina atau palsu boleh dianggap sebagai kesalahan serius di bawah undang-undang seperti Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Hasutan 1949 serta Kanun Keseksaan,” jelasnya di sini hari ini.
Beliau pada masa sama turut mengingatkan bahawa orang ramai perlu mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan sahih sebelum menyebarkannya.
“Selain itu, media sosial hendaklah digunakan secara bertanggungjawab bagi mengekalkan ruang awam yang beradab serta tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyebarkan fitnah dengan sengaja,” katanya.
Kenyataan itu menegaskan komitmen jabatan berkenaan untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, memupuk dialog yang saling menghormati serta memastikan penyebaran maklumat yang tepat sebagai tanda kematangan demokrasi.
“Adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk melindungi martabat serta kehormatan TYT Sabah sebagai sebuah institusi yang mulia,” katanya lagi.






