KUALA LUMPUR: Kumpulan rock popular Akim & The Majistret terus mencipta fenomena apabila single terbaharu mereka, Juliet, berjaya menduduki tangga ketiga carta Malaysia iTunes Top Songs, sekali gus muncul sebagai satu-satunya lagu Melayu dalam kelompok tiga teratas carta berkenaan.
Pencapaian itu dilihat sebagai satu kejayaan besar buat industri muzik tempatan apabila Juliet berjaya bersaing secara langsung dengan dua lagu antarabangsa paling popular ketika ini, sekali gus membuktikan kekuatan karya tempatan di platform digital.
Vokalis kumpulan itu, Akim Ahmad, berkata kejayaan berkenaan amat bermakna selepas penat lelah mereka menyiapkan lagu yang sarat dengan emosi dan penceritaan mendalam.
“Kami tidak menyangka Juliet akan menerima sambutan sehebat ini. Ia satu hadiah yang sangat bermakna buat kami dan bukti bahawa muzik tempatan masih kuat jika terus mendapat sokongan peminat,” katanya.
Menurut Akim, pencapaian di carta iTunes itu hadir secara organik tanpa sebarang gimik atau strategi pemasaran berlebihan, sebaliknya didorong sepenuhnya oleh sokongan pendengar.
“Kejayaan ini benar-benar kami hargai kerana ia datang secara semula jadi. Kami tidak membeli angka atau mencipta sensasi, sebaliknya Juliet diterima kerana kekuatan lagunya sendiri,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan kejayaan tersebut sebagai suntikan semangat untuk kumpulan itu terus berkarya secara jujur dan matang dalam menghasilkan muzik berkualiti.
“Ini peringatan bahawa peminat sentiasa menghargai kejujuran dalam muzik. Selagi kami ikhlas berkarya, kami percaya Juliet hanyalah permulaan kepada lebih banyak kejayaan selepas ini,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Akim & The Majistret dijadual melancarkan video muzik rasmi Juliet secara eksklusif di saluran YouTube Nova Music pada Jumaat ini, jam 3 petang.
Lebih menarik, video muzik berkenaan menampilkan sembilan wanita sebagai simbol ‘Juliet’, terdiri daripada barisan selebriti terkenal tanah air, sekali gus memberi dimensi baharu terhadap penceritaan lagu tersebut dan mengukuhkan lagi kedudukan Juliet sebagai antara karya paling berpengaruh dalam landskap muzik tempatan masa kini.






