Esther Yu Temui Peminat Malaysia di iQIYI Starship 2026 April Ini

Esther Yu Temui Peminat Malaysia di iQIYI Starship 2026 April Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Platform penstriman terkemuka Asia, iQIYI, mengumumkan Malaysia sebagai persinggahan pertama jelajah iQIYI Starship 2026 yang akan berlangsung pada 7 April depan di Zepp Kuala Lumpur.

Acara tersebut bakal menampilkan kemunculan khas Duta Global Antarabangsa iQIYI, Esther Yu (虞书欣), yang akan bertemu peminat di Malaysia buat kali pertama.

Menurut iQIYI, pemilihan Malaysia sebagai lokasi pembukaan jelajah 2026 mencerminkan komitmen berterusan platform itu untuk memperkukuh kehadirannya di pasaran tempatan, susulan sambutan hangat terhadap pelbagai aktiviti iQIYI Starship di Asia Tenggara tahun lalu.

Dalam acara tersebut, Esther Yu dijangka berkongsi pengalaman dan kisah di sebalik tabir drama terbaharunya Speed and Love (双轨), selain menghargai sokongan peminat Malaysia terhadap drama berkenaan.

Esther Yu dilantik sebagai Duta Global Antarabangsa iQIYI pada November tahun lalu dan dikenali menerusi beberapa drama popular termasuk Love Between Fairy and Devil (2022), My Journey to You (2023) dan Sword and Fairy (2024), yang turut boleh distrim di platform iQIYI.

Drama Speed and Love, sebuah drama-C original iQIYI yang berlatarbelakangkan dunia perlumbaan kompetitif, mengangkat tema pertumbuhan diri, penemuan identiti serta konflik emosi. Sejak dilancarkan, drama tersebut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat drama China di seluruh Asia Tenggara.

Sementara itu, peluang menghadiri acara iQIYI Starship 2026 di Malaysia akan diberi keutamaan kepada ahli VIP Tahunan Antarabangsa iQIYI Malaysia.

Maklumat lanjut mengenai mekanik penyertaan serta perkembangan terkini acara berkenaan akan diumumkan melalui platform media sosial rasmi iQIYI Malaysia.

Acara tersebut dijadual berlangsung pada Selasa, 7 April 2026 bermula jam 7.30 malam di Zepp Kuala Lumpur, dengan sesi pendaftaran media bermula dari jam 7.00 hingga 7.30 malam.