KUALA LUMPUR: Program Inkubator di bawah Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) dilaksanakan bagi membantu mengurangkan pembaziran makanan di negara ini dengan memanfaatkan lebihan makanan yang masih selamat dimakan untuk diagihkan kepada golongan memerlukan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program tersebut merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama pelbagai rakan industri, badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan.
Menurutnya, melalui program Inkubator Ihsan Food Bank, lebihan makanan boleh diproses menggunakan teknologi retort untuk menghasilkan makanan berbentuk ready-to-eat yang tahan lebih lama sebelum diagihkan kepada komuniti yang memerlukan.
“Melalui program ini, KPDN telah menyediakan kemudahan mesin retort kepada rakan strategik bagi membolehkan lebihan makanan yang masih selamat diproses untuk disimpan menjadi produk makanan tahan lama,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata pendekatan tersebut bukan sahaja membantu memanjangkan jangka hayat makanan, malah memastikan lebihan makanan dapat dimanfaatkan sepenuhnya selaras dengan objektif Inisiatif Ihsan Food Bank iaitu Santuni Komuniti, Sayangi Alam dan Selamatkan Makanan.
Setakat ini, sebanyak 14 mesin retort telah disediakan oleh KPDN dan diagihkan kepada rakan strategik termasuk Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Hotel Le Meridien Putrajaya, Hotel Marriott Putrajaya dan Politeknik Sultan Idris Shah di Sabak Bernam.
Dalam pada itu, KPDN bersama rakan strategik turut melaksanakan Program Santuni Komuniti Ihsan Food Bank bagi menyantuni petugas barisan hadapan serta golongan gelandangan di sekitar Kuala Lumpur.
Melalui program tersebut, sumbangan pek makanan seperti makanan retort, makanan dalam tin dan barangan makanan kering diagihkan kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Balai Bomba dan Penyelamat Sentul serta anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebagai tanda penghargaan terhadap pengorbanan mereka.
Selain itu, bantuan bekalan makanan turut diagihkan kepada golongan gelandangan sebagai usaha membantu komuniti yang memerlukan khususnya sepanjang bulan Ramadan.
Armizan berkata KPDN juga mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak untuk menyertai dan menyumbang kepada Inisiatif Ihsan Food Bank bagi memperluaskan lagi pelaksanaan program tersebut di seluruh negara.
Menurut statistik Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), rakyat Malaysia menghasilkan kira-kira 17,000 tan metrik sisa makanan setiap hari, dengan sekitar 4,000 tan metrik daripadanya berpotensi untuk diselamatkan dan dimanfaatkan.
Beliau berharap usaha tersebut dapat memperkukuh kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam membantu golongan memerlukan di samping mengurangkan pembaziran makanan di negara ini.






