Disagree Kembali Gegar Arena Rock Dengan Single Let’s Do It All Again...

Disagree Kembali Gegar Arena Rock Dengan Single Let’s Do It All Again Selepas Sedekad Menyepi

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Selepas lebih sedekad menyepi daripada perhatian umum, kumpulan alternatif rock terkenal Malaysia, Disagree akhirnya kembali mewarnai industri muzik tempatan menerusi single baharu berjudul “Let’s Do It All Again”.

Kemunculan semula kumpulan yang dianggotai Zahid, Hamka dan Taa itu turut menjadi pembuka tirai kepada album penuh terbaharu mereka berjudul “Black & White in Colour” yang dijangka dilancarkan tidak lama lagi.

Lebih menarik, kepulangan Disagree bukan sekadar didorong nostalgia, sebaliknya menjadi simbol penyempurnaan perjalanan yang pernah terhenti lebih sedekad lalu.

Kami sebenarnya tidak sempat mengucapkan selamat tinggal. Kehidupan terus berjalan, begitu juga kami. Tetapi di suatu titik, ada sesuatu yang kami tinggalkan tanpa penyelesaian,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan media.

Menurut Disagree, perubahan kehidupan, komitmen keluarga dan kerjaya menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk berehat daripada dunia muzik, sekali gus meninggalkan peminat tanpa penutup cerita yang jelas.

Kini, mereka kembali dengan semangat baharu dan karya yang lebih matang, namun masih mengekalkan identiti alternatif rock dan grunge yang pernah menjadikan mereka antara kumpulan berpengaruh pada awal 2000-an.

Single “Let’s Do It All Again” digambarkan sebagai anthem penuh emosi mengenai kepulangan, penyesalan dan penghargaan terhadap peminat yang tidak pernah melupakan mereka.

Lagu itu turut membawa mesej permohonan maaf dan usaha untuk kembali menjalin hubungan dengan peminat yang sekian lama menanti kemunculan semula mereka.

Dirakam di Malaysia dan Australia, lagu berkenaan diterbit dan diadun oleh pemenang pelbagai Anugerah Industri Muzik (AIM), Greg Henderson manakala proses mastering dilakukan pemenang Grammy, Leon Zervos di Studios 301, Australia.

Disagree pernah mencipta nama menerusi lagu popular seperti Crumbs, Suicide Note, Scarecrow Adams, Osaka dan Haley.

Kumpulan itu juga pernah menjadi antara nama tetap festival Rock The World selain berkongsi pentas dengan kumpulan antarabangsa seperti Hoobastank dan The All-American Rejects.

Antara pencapaian terbesar mereka termasuk memenangi tiga Anugerah Industri Muzik (AIM) termasuk kategori Artis Baru Terbaik, Album Inggeris Terbaik dan Kulit Album Terbaik, selain menerima pengiktirafan daripada Universal Music Malaysia sebagai album paling pantas terjual pada tahun 2005.

Menurut Disagree, kemunculan semula kali ini lebih tertumpu kepada hubungan dengan peminat berbanding mengejar populariti semata-mata.

“Kami masih kumpulan yang sama di hati. Cuma kini lebih matang, sedikit rapuh di beberapa sudut, tetapi lebih tekad dan bersemangat berbanding sebelum ini,” katanya.

Album “Black & White in Colour” pula bakal mengetengahkan tema patah hati, trauma, hubungan semula, kepercayaan dan perjalanan kehidupan yang dilalui kumpulan itu sepanjang kehilangan mereka daripada industri muzik.

Sebagai sebahagian daripada kemunculan semula ini, Disagree turut merancang siri interaksi eksklusif bersama peminat dan beberapa penampilan khas di seluruh negara dalam usaha merapatkan kembali hubungan yang sekian lama terpisah.