Ahli Lembaga Pengarah Bukan ‘Rubber Stamp’, Tapi Penjaga Amanah – Masidi

Ahli Lembaga Pengarah Bukan ‘Rubber Stamp’, Tapi Penjaga Amanah – Masidi

0
SHARE

KOTA KINABALU: “Ahli Lembaga Pengarah bukan sekadar meluluskan kertas cadangan dan bukan rubber stamp kepada pihak pengurusan. Lembaga ialah penjaga amanah, tadbir urus, akauntabiliti dan kepercayaan rakyat,” tegas Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Ahli Lembaga Pengarah Badan Berkanun Negeri dan Syarikat Kerajaan Negeri Tahun 2026 di sini pada Rabu.

Tegas Masidi lagi, sesuai dengan Tema kursus, iaitu ‘DO WHAT IS RIGHT’, kepimpinan bukan dinilai berdasarkan populariti atau pujian, tapi berdasarkan keberanian membuat keputusan yang betul, berintegriti dan bertanggungjawab. 

“Ada kalanya keputusan yang betul bukan keputusan yang mudah atau popular. Ia mungkin mengundang kritikan, menuntut kita berkata “tidak”, atau memerlukan kita meletakkan kepentingan organisasi, Kerajaan Negeri dan rakyat mengatasi kepentingan peribadi serta tekanan luar. Inilah tanggungjawab sebenar seorang Ahli Lembaga Pengarah.

“Jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah bukan sekadar suatu pengiktirafan atau simbol status. Ia membawa tanggungjawab undang-undang, moral dan fidusiari, lebihlebih lagi apabila sumber yang diuruskan melibatkan wang dan kepentingan awam,” katanya.

Masidi turut menekankan dua prinsip asas yang perlu sentiasa dipegang olah Ahli Lembaga Pengarah, iaitu ‘Duty of care’ dan Duty of loyalty’.

“Pertama, duty of care. Setiap keputusan hendaklah dibuat setelah dokumen diteliti, fakta dan risiko dinilai serta soalan yang kritikal dikemukakan. Jangan membuat keputusan hanya berdasarkan andaian, sentimen atau hubungan peribadi.

“Kedua, duty of loyalty. Kepentingan organisasi mesti mengatasi kepentingan individu. Sebarang konflik kepentingan, sama ada melibatkan hubungan perniagaan, keluarga atau kewangan, hendaklah diisytiharkan,” ujarnya.

Masidi menambah, Ahli Lembaga juga perlu tahu bila wajar mengambil bahagian dan bila perlu menarik diri daripada sesuatu keputusan.

“Kegagalan tadbir urus biasanya tidak bermula dengan satu kesalahan besar. Ia bermula apabila perkara kecil dibiarkan: dokumen tidak dibaca, due diligence tidak dilaksanakan, risiko dipandang ringan, konflik kepentingan tidak diisytiharkan, dan budaya “asal lulus” atau “jangan persoal” diterima sebagai kebiasaan. Budaya seperti ini mesti dihentikan,” tegasnya lagi.

Kerajaan Negeri mahu badan berkanun negeri dan syarikat kerajaan negeri menjadi organisasi berprestasi tinggi, berdisiplin dari segi kewangan, ditadbir dengan baik dan mampu menjana nilai kepada negeri.

“Prestasi tidak boleh diukur hanya melalui jumlah mesyuarat, laporan atau program yang dilaksanakan.

“Ukurannya ialah impak: adakah mandat organisasi tercapai, sumber diurus dengan cekap, pulangan diberikan kepada negeri, dan organisasi bersedia menghadapi perubahan ekonomi, teknologi serta risiko global? Data sumbangan kepada Kerajaan Negeri menunjukkan pentingnya peranan organisasi-organisasi ini,” katanya.