KENINGAU – Renoddry Remey, pelajar berkeperluan khas Kolej Vokasional (KV) Keningau, telah dinobatkan sebagai penerima anugerah olahragawan terbaik dalam kategori balapan di Sukan Kolej Vokasional (SUKOV) peringkat kebangsaan yang berlangsung di Kota Bharu, Kelantan, dari 10 sehingga 15 Ogos 2026.
Melalui acara larian pecut, Renoddry telah memenangi emas dalam kategori 400-meter dan perak dalam 200-meter.
Beliau juga merupakan pemenang pingat emas dalam kategori lumba lari 400-meter, 200-meter, acara larian berganti-ganti 4 x 100-meter dan 4 x 400 meter di SUKOV zon Sabah/Labuan yang berlangsung pada bulan Jun.
Renoddry dan pasukan larian yang diketuainya sepatutnya beraksi di peringkat akhir acara larian 4 x 400-meter dan dijangkakan sebagai pesaing hebat dalam acara tersebut namun penyertaan mereka telah dibatalkan akibat daripada kesalahan teknikal semasa pusingan separuh akhir. Renoddry berjaya menamatkan larian 400-meter dengan catatan masa 50.71s dan seterusnya memenangi pingat emas manakala pelari dari Perak dan Johor masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Renoddry berjaya memenangi pingat perak dalam acara 200-meter dengan catatan masa 22.65s setelah tewas tipis kepada pelari dari negeri Terengganu yang mencatat masa larian 22.63s. Hanya acara pecut larian individu dan berganti-ganti bagi lelaki dan perempuan yang dipertandingan dalam SUKOV di bawah kategori sukan olahraga. Pasukan Sabah/Labuan berjaya menjadi juara keseluruhan acara olahraga dengan kutipan mata tertinggi secara berkumpulan.

Renoddry yang merupakan pelajar tingkatan lima Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di kolej tersebut akan beraksi di kejohanan para SUKMA yang akan berlangsung pada bulan September.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menzahirkan ucapan tahniah kepada atlet ini atas pencapaiannya lebih-lebih lagi pelajar ini merupakan pelajar berkeperluan khas dan ini membuktikan bagaimana program pendidikan khas iaitu PPKI di kolej tersebut mampu memberi peluang dan menggilap bakat para pelajar berkeperluan khas termasuklah acara sukan sehingga mampu bersaing dengan pelajar-pelajar yang lain.






